JUALAN RAMADAN
Pihak pengurusan MAP ke 11 KTHO, mengadakan jualan juadah berbuka puasa di hadapan dataran KTHO pada setiap hari bermula 17 September 2007. Datanglah beramai-ramai.
17 September 2007
| [+/-] |
Jualan Ramadan |
12 September 2007
| [+/-] |
Amaran Gempa Bumi Dan Tsunami |
UNTUK MAKLUMAT TERKINI AMARAN GEMPA BUMI DAN TSUNAMI
SILA LAYARI LAMAN WEB JABATAN METEOROLOGI MALAYSIA
http://www.kjc.gov.my/
| [+/-] |
Gempa bumi kuat melanda selatan Sumatera, amaran tsunami |
Gempa bumi kuat melanda selatan Sumatera, amaran tsunami
KUALA LUMPUR 12 Sept — Gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter melanda selatan Sumatera, 155km barat daya Bengkulu, Indonesia dan 718km barat daya Johor Baharu pada 7.10 malam ini.
Kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia di sini menyatakan, gempa bumi itu berlaku di 4.5 darjah Selatan dan 101.0 darjah Timur.
Menurut kenyataan itu, penduduk di kawasan pantai terutama di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak dinasihati supaya menjauhi kawasan pantai.
Gegaran turut dirasai di kawasan Barat Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, JAKARTA digegar gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter beberapa minit lepas.
Maklumat awal yang disiarkan televisyen tempatan menyatakan gempa bumi yang berpusat di sekitar kepulauan Bengkulu itu berpotensi tsunami.
Ketika laporan ini dibuat wartawan Bernama yang berada di tingkat 19 Wisma Antara di bandar raya itu masih terasa bangunan setinggi 20 tingkat itu bergoyang kuat.
Komputer di atas meja, televisyen dan perabot bergoyang akibat gempa itu.
Ribuan pekerja pelbagai syarikat di Wisma Antara bertempiaran keluar meninggalkan pejabat masing-masing untuk menyelamatkan diri dengan turun ke bawah dengan menggunakan tangga kecemasan.
Di JOHOR BAHARU, gegaran turut dirasai sehingga menyebabkan orang ramai terutamanya di bangunan tinggi keluar ke perkarangan bangunan masing-masing untuk menyelamatkan diri.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Saiful Bahari berkata, jabatan itu menerima banyak laporan daripada orang ramai khususnya yang tinggal di bangunan tinggi seperti kondominium Bukit Saujana, Taman Desa Cemerlang, flet Bukit Cagar dan juga di Gelang Patah.
Saiful berkata jabatan itu telah menghantar anggota untuk membuat pemeriksaan di bangunan-bangunan tinggi yang terlibat.
Di KUALA LUMPUR, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah di sini ketika dihubungi berkata, jabatan itu menerima banyak panggilan daripada orang ramai melaporkan bangunan dan rumah pangsa mereka mengalami gegaran.
Katanya, keadaan itu menyebabkan penghuni dan pekerja di bangunan tinggi terbabit bergegas keluar untuk menyelamatkan diri.
“Antara kawasan yang mengalami gegaran ialah Pandan Jaya, Petaling Jaya, Jalan Klang Lama, Kepong, Cheras dan kompleks kerajaan di Jalan Duta.
Anggota bomba telah dihantar ke kawasan berkenaan untuk memantau keadaan keselamatan di sana,” katanya.
Bagaimanapun pihak bomba meminta orang ramai supaya tidak panik dan bertenang memandangkan gegaran itu cuma tempias daripada gempa bumi di Sumatera.-Bernama
10 September 2007
| [+/-] |
KHAS RAMADHAN |
KHAS RAMADHAN
sumber: Majlis Ugama Islam SIngapura- www.muis.gov.sg
1.Apakah kelebihan-kelebihan pada bulan Ramadan?
Bulan Ramadan mempunyai banyak kelebihan yang jika dihitung, maka ia akan menjadi senarai yang amat panjang. Antaranya adalah setiap amalan soleh dalam bulan ini digandakan pahalanya berlipat kali ganda. Bulan ini juga merupakan bulan di mana para Syaitan diikat oleh Allah s.w.t, pintu-pintu Syurga dibuka dan pintu-pintu Neraka ditutup. Bulan ini juga merupakan bulan latihan untuk bersabar dan mengingatkan kita akan kesusahan mereka yang kekurangan makan dan minum. Ia juga bulan Al-Quran dimana Al-Quran diturunkan dalamnya, dan mempunyai satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan.
Amat rugilah mereka yang tidak mengambil manfaat dari bulan ini.
2. Apakah cara terbaik untuk saya menghayati bulan Ramadan dan menambah amalan di dalamnya?
Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al- Baqarah ayat 185 yang bermaksud: “Bulan Ramadan diturunkan padanya Al Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan yang batil).”
Sesuai dengan bulan Al-Qur’an ini, maka penghayatannya melibatkan tiga cara:
1. Berusaha membanyakkan amal baik dengan tujuan mengukuhkan keimanan dan mendapat keredhaan Allah S.W.T.
2. Mempertingkatkan ilmu, melalui pembacaan dan pengkajian Al-Quran, serta mempelajari sejarah Baginda Rasulullah S.A.W.
3. Menghayati nilai murni yang ditunjukkan dalam Al-Qur’an, terutama dari sudut akhlak. Tingkah laku kita sebagai orang yang beriman harus mencerminkan akhlah mulia yang diajar dalam kitab tersebut.
Penghayatan bulan Ramadan danAl-Qur’an tidak terbatas dalam lingkungan solat dan puasa secara ritual sahaja. Malah, lebih dari itu, kita mesti menghayatinya dalam setiap aspek kehidupan seharian kita dan melahirkannya dalam tingkah laku, pertuturan dan gerak hati .
3.Bilakah Lailat-ul-Qadr?
Tidak ada sesiapa yang boleh memastikan bilakah Lailat-ul-Qadr itu akan datang. Terdapat ramai ulama yang berpendapat bahawa ia jatuh pada malam 27 Ramadan. Akan tetapi, ia hanyalah satu ramalan dan bukanlah sesuatu yang pasti. Ini kerana ia sebenarnya boleh jatuh dimana-mana malam dari malam Ramadan yang pertama hinggalah malam yang terakhir. Juga tiada ayat Qur’an atau Hadith yang sahih yang mengatakan tentang bila sebenarnya Lailat-ul-Qadr.
5.Apa hukumnya solat tarawih?
Solat tarawih adalah sunnah yang sangat digalakkan pada malam-malam Ramadan. Ia adalah ibadat khusus di dalam bulan Ramadan, dan tidak dilakukan pada bulan-bulan lain.
6.Apakah kelebihan Solat Tarawih?
Solat Tarawih mempunyai banyak kelebihan kerana ia adalah ibadat solat yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya.
Namun, Rasulullah s.a.w tidak menyatakan fadilatnya yang khusus. Baginda juga tidak menyatakan fadilat solat Tarawih bagi setiap malam. Apa yang tersebar dari fadilat solat Tarawih bagi setiap malam yang berbeza, itu bukan hadith Rasulullah s.a.w, tetapi ciptaan manusia yang tidak berasaskan Al-Quran dan Hadith.
9.Bagaimanakah caranya menunaikan solat terawih?
Solat terawih adalah sangat digalakkan pada malam-malam Ramadan. Ia adalah ibadat khusus di dalam bulan Ramadan, dan tidak dilakukan pada bulan-bulan lain.
Masanya adalah setelah seseorang itu mengerjakan solat fardu Isyak. Afdal (utama) dikerjakan berjemaah di masjid. Namun, boleh dikerjakan bersendirian juga.
Solat terawih boleh dilaksanakan sebanyak 8 rakaat, 20 rakaat atau 36 rakaat, setiap 2 rakaat dengan satu salam. Cara menunaikannya adalah sama seperti solat sunat biasa (seperti sunat qabliyah (sebelum) atau ba’diyah (selepas) bagi solat fardhu lima waktu).
Menurut hadis Imam Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah R.A. maksudnya: "Adalah Rasulullah S.A.W. sangat sukacita menganjurkannya supaya beramal di malam-malam bulan Ramadan, hanya Baginda itu tidak menganjurkannya dengan keras. Baginda S.A.W. bersabda: "Sesiapa yang menunaikan ibadat solat pada malam-malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah S.W.T., nescaya diampunkan oleh Allah dosa-dosanya yang lalu."
10.Bagaimana saya boleh mengerjakan solat witir?
Witir bermakna angka yang ganjil. Solat witir boleh dikerjakan pada tiap-tiap malam dan yang lebih afdal adalah pada bulan Ramadan, samada bersendirian atau berjemaah. Solat ini dikerjakan sekurang-kurangnya 1 rakaat dan boleh dikerjakan 3 rakaat, 5 rakaat, 7 rakaat, 9 rakaat dan sebanyak 11 rakaat.
Imam Abu Daud dan an-Nasa'i telah meriwayatkan sebuah hadis dari Abu Ayyub yang maksudnya: "Rasulullah SAW pernah bersabda" Solat witir itu adalah benar. Siapa yang suka mengerjakannya lima rakaat, kerjakanlah. Siapa yang suka mengerjakannya tiga rakaat kerjakanlah, dan siapa yang suka mengerjakannya satu rakaat sahaja pun, kerjakanlah."
Niat witir dua rakaat di dalam jemaah adalah seperti: "Sahaja aku solat witir dua rakaat menjadi makmum kerana Allah ta’ala." Niat witir satu rakaat pula di dalam jemaah adalah seperti: "Sahaja aku solat witir satu rakaat menjadi makmum kerana Allah
11. Bolehkah seseorang itu bangun malam dan bersolat witir sekali lagi walaupun sudah melakukannya di masjid?
Solat witir boleh dilaksanakan dari 1 sehingga 11 rakaat. Ia dilaksanakan selepas solat terawih di kebanyakan masjid untuk menutup tirai solat di waktu malam di dalam bulan Ramadan. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang itu telah menunaikan solat witir sebanyak 3 rakaat selepas terawih dan kemudian bangun di waktu malam menunaikan solat tahajjud, ia boleh menunaikan solat witir sebagai penambahan bagi 3 rakaat yang dilaksanakan selepas terawih. Caranya adalah dengan hanya bersolat 2, 4, 6, atau 8 rakaat dengan niat “Sahaja aku dirikan 2 rakaat dari solat sunat witir kerana Allah ta’ala.” Dengan demikian, ia tidak dikira mendirikan 2 witir pada satu malam kerana Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Tidak ada dua witir pada satu malam."













