Kajian MQA Dapati Tidak Ada Universiti Capai Tahap Terbilang
PUTRAJAYA, 2 Nov (Bernama) -- Kajian reputasi akademik sesebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang dijalankan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menunjukkan bahawa tidak ada universiti dalam negara yang mencapai tahap terbilang, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed.
Bagaimanapun menurutnya istilah terbilang yang dimaksukan oleh kajian itu mungkin merujuk kepada taraf dunia, dan setakat ini tidak ada universiti dalam negara yang mencapai tahap itu.
Katanya kajian reputasi itu dijalankan oleh MQA, yang dulunya dikenali sebagai Lembaga Akreditasi Negara (LAN), terhadap 17 IPTA yang melibatkan 272 penyertaan dan respons dari 242 responden di kalangan IPTA, universiti peringkat Asean, majikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Maknanya mengikut persepsi responden, tidak ada universiti dalam negara yang mencapai status terbilang bertaraf dunia. Tapi ini persepsi mengikut kaji selidik, ia sebenarnya sesuatu yang subjektif, dan berdasarkan kepada pendapat semata-mata," katanya kepada pemberita selepas mengisytiharkan penubuhan MQA di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Menurutnya kajian itu merujuk kepada 10 soalan penilaian yang berhubung dengan aspek-aspek berkaitan kualiti sesebuah universiti, antaranya kualiti penyelidikan, reputasi tenaga akademik fakulti, universiti yang menjadi pilihan pelajar, kualiti program akademik dan kualiti graduan.
Mustapa berkata pada umumnya tahap kualiti IPTA dalam negara adalah baik, tetapi banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki bagi meningkatkan mutu pengajian tinggi negara.
Beliau berkata kajian yang bermula sejak Ogos tahun lepas hingga Julai lalu itu mendapati ramai responden meletakkan Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahap cemerlang, manakala Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahap baik.
Bagi kategori reputasi tenaga akademik fakulti pula, UM dan USM (Cemerlang) manakala UIA, UKM, UPM dan UTM (Baik); universiti yang menjadi pilihan pelajar ialah UM dan USM (Cemerlang) manakala UIA, UKM, UPM, UTM, UiTM dan UUM (Baik); dan kualiti graduan pula merujuk kepada UIA, UiTM, UKM, UM, UPM, USM, UTM dan UUM (Tahap Baik).
Mustapa berkata kajian untuk menaraf IPTA sedang dijalankan oleh MQA yang bertujuan untuk mengukur kualiti pengajian tinggi dalam usaha meletakkan IPTA tempatan sebagai universiti bertaraf antarabangsa.
"Ini penting kerana kerajaan nak tahu setakat mana mereka melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan berkesan," katanya.
Beliau berkata penilaian dibuat mengikut amalan terbaik antarabangsa yang diubah suai mengikut keperluan negara dan IPTA dibahagikan kepada tiga kategori iaitu universiti penyelidikan, universiti pengkhususan dan `broad-based university'.
Katanya penarafan IPTA yang menggunakan data tahun lepas sedang dijalankan dan keputusannya dijangka akan diumumkan pada awal tahun depan.
-- BERNAMA
02 November 2007
[+/-] |
Kajian Reputasi Akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) |
Subscribe to:
Posts (Atom)